The One & The Only

The One & The Only
smile
Memaparkan catatan dengan label AKHLAQ. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AKHLAQ. Papar semua catatan

Isnin, 23 Februari 2015

DOA UNTUK MEMILIKI SIFAT KHULAFA’ AR-RASYIDIN

DOA UNTUK MEMILIKI SIFAT KHULAFA’ AR-RASYIDIN


Bismillahirahmannirahim….

Ya Rabbi,
Ajarilah kami bagaimana memberi sebelum meminta,
Berfikir sebelum bertindak,
Santun dalam bicara,
Tenang ketika gundah,
Diam ketika emosi,
Bersabar dalam ujian.

Ya Karim,
Jadikanlah kami orang yang selembut Abu Bakar As-Siddiq,
Sebijak Umar bin Al-Khattab,
Sedermawan Usman bin Affan,
Sepintar Ali bin Abi Talib,
Seserdehana Bilal bin Rabbah,
Setegar Khalid bin Walid.

Ya Wahid,
Kurniakanlah kepada kami dengan segala keredhaan-Mu yang telah Engkau kurniakan kepada kaum Muslimin yang terdahulu.
Semoga iman kami seteguh mereka yang lalu,
Dalam menghadapi ujian pada akhir zaman ini.
Semoga kami terpelihara dari segala fitnah didunia dan akhirat.


Amin ya Rabbal’alamin.


Ahad, 16 November 2014

Ingatan Dari Bumi Kpd Kita......

Ingatan Dari Bumi Kpd Kita......

Berkata Anas Bin Malik r. a;
Sesungguhnya setiap hari bumi menyeru kepada manusia dengan 10 perkara.

1. Wahai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimasukkan ke dalamnya kelak.

2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan diazab di dalam perutku.

3. Engkau ketawa di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan menangis di dalam perutku.

4. Engkau bergembira di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan kecewa di dalam perutku.

5. Engkau mengumpul harta di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan menyesal di dalam perutku.

6. Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimakan oleh ulat di dalam perutku.

7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dihina di dalam perutku.

8. Engkau berlari dengan riang di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.

9. Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan tinggal dalam kegelapan di dalam perutku.


10. Engkau hidup di atas belakangku beramai-ramai, tetapi ingatlah! Engkau akan keseorangan di dalam perutku.

Wallahu'alam.

Ahad, 15 Jun 2014

Tips Persiapan Sebelum Ramadhan

Tips Persiapan Diri Sebelum Ramadhan.

Antara perkara-perkara yang boleh dilakukan sebagai persediaan dalam menghadapi madrasah Ramadhan adalah seperti:

Fasa 1: (Menyedarkan Hati)

Aktiviti: Fokus untuk mengembalikan kestabilan jiwa dengan perkara berikut:-
  1. Cuba untuk mendapatkan khusyuk ketika solat.
  2. Tilawah al-Quran dan sasarkan supaya dapat dikhatamkan apabila tamat ramadhan nanti.
  3. Membaca artikel di internet atau buku berkenaan Allah, syurga dan nikmat-Nya, zikrullah, taubat dan sebagainya.
  4. Berfikir mengenai pencapaian Ramadhan pada tahun lepas.
  5. Berdoa semoga Allah membantu kita dalam memberikan ketabahan untuk melakukan ketaatan.
Fasa 2: (Minggu Puasa Dan Al-Quran)
Aktiviti: Fokuskan kepada tazkirah mengenai Ramadhan untuk memberi ransangan dan motivasi yang berpanjangan.
  1. Mula puasa Isnin dan Khamis.
  2. Memperbanyakkan membaca dan mendengar bacaan al-Quran.
  3. Cuba habiskan sekurang-kurangnya 4 muka al-Quran sehari agar dapat dikhatamkan apabila Ramadhan meninggalkan kita nanti.
  4. Bertadarus dengan teman serumah/jiran selepas solat maghrib setiap hari.
Fasa 3: (Minggu Fajar, Zikir Dan Sedekah)
Aktiviti: Teruskan dengan aktiviti fasa 1 dan 2.
  1. Tunaikan solat subuh pada waktunya dan solat sunat 2 raka'at sebelumnya.
  2. Banyakkan amalan sedekah.
  3. Amalkan zikir di masa lapang selain zikir al-Mathurat selepas subuh.
  4. Pelajari jenis-jenis sedekah selain harta (senyum,  menolong orang Islam).
Fasa 4: (Minggu Qiam Dan Amalan Sunat)
Aktiviti: Teruskan dengan 3 aktiviti yang lepas.
  1. Mulakan dengan qiamulail 2 kali seminggu.
  2. tunaikan solat witir selepas isyak atau sebelum tidur.
  3. Berusaha agar dapat bangun pagi 30 minit sebelum azan subuh.
  4. Iltizam dengan solat sunat Rawatib.
  5. Iltizam dengna tilawah al-Quran selepas subuh hingga terbit matahari. Lakukan sekali seminggu sebagai permulaannya iaitu pada masa cuti. Boleh ditambah dengan solat sunat Dhuha.
  6. Cuba aturkan jadual pemakanan anda agar ia benar-benar menyihatkan dan elak makan dengan kuantiti yang terlalu banyak. Ini penting bagi memastikan Ramadhan yang bakal menjelang itu nanti sejajar dengan apa yang dikehendaki oleh Allah.
Fasa 5: (Minggu Doa Dan Taubat)
Aktiviti: Teruskan dengan aktiviti-aktiviti yang lepas.
* Ini merupakan minggu terakhir persiapan.
  1. Memperbanyakkan doa dan istighfar. Mohon agar dipertemukan dengan Ramadhan, diberi kekuatan untuk melakukan ketaatan pada bulan Ramadhan nanti dan diterima segala amalan yang kita lakukan.
  2. Bertaubat sepenuhnya diatas segala keterlanjuran sebelum ini dan mulakan lembaran baru dengan mengingati Allah.
  3. Eratkan silaturrahim dengan ahli keluarga dan rakan-rakan dan jadikan Ramadhan dan persediaan menyambutnya sebagai topik perbualan (ziarah, telefon, sms, email dan sebagainya).
Petikan dari Manhaj Ramadhan (andai ini Ramadhan terakhir ku....), terbitan Adab Sinergi Sdn Bhd.

Sabtu, 14 Jun 2014

khutbah RASULULLAH S.A.W mengenai Ramadhan.

Bismillahirrahmannirahim,
Assalamualaikum w.b.t,
Pada entry kali ini saya dengan rendah hati ingin berkongsi khutbah Nabi  junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.

Wahai manusia!
Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Allah yang punya keberkatan, kerahmatan dan maghrifah. Bulan kemuliaan disisi Allah. Malam-malamnya (juga) adalah malam-malam yang paling utama. Setiap detik jamnya adalah detik-detik jam paling utama. Inilah bulan yang kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan-Nya. Di bulan ini, nafas-nafasmu adalah tasbih, tidurmu adalah ibadah, amal-amalmu akan diterima dan doa-doamu dilayan.

Pohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan ibadat puasa dan tilawah kitab-Nya. Celakalah orang yang tidak diberi keampunan Allah di bulan yang agung ini. Bayangkanlah...dengan rasa lapar dan dahagamu, (umpama) kelaparan dan dahaga di hari Kiamat.

Bersedekahlah kepada golongan fakir dan miskin. Muliakanlah ibubapamu, sayangilah yang muda, sambungkanlah tali persaudaraanmu, peliharalah lidahmu, tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal, dan (hindari) pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu dengarkan. Kasihanilah anak-anak yatim, pasti manusia akan mengasihani anak-anak yatimmu. Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu, berdoa ketika waktu solatmu kerana itulah waktu yang paling penting sewaktu Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh sayang; Dia menjawab mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyahut mereka ketika mereka memanggil-Nya, dan mengabulkan permintaan mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.

Wahai manusia!
Ramadhan adalah bulan kesabaran, sedangkan sabar itu pahalanya adalah syurga. Ramadhan merupakan bulan memberi pertolongan (syahrul musawah) dan bulan Allah memberikan rezeki kepada mukmin didalamnya.

Barangsiapa memberikan makanan berbuka puasa kepada seseorang yang berpuasa, adalah demikian merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikit pun berkurang.

Para sahabat berkata,
"Ya Rasulullah, bukan semua kami memiliki makanan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa".

Maka Rasulullah S.A.W bersabda:
"Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi sebutir kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu".

Ia adalah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada neraka. Barangsiapa meringankan beban daripada budak sahaya (termasuk disini para pembantu rumah), nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya daripada neraka.

Oleh itu, perbanyakkanlah empat perkara di bulan Ramadhan; dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhanmu, dan dua perkara lagi merupakan apa yang kamu hajati.

Dua perkara pertama tadi adalah: 1) "Mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain dari Allah, 2) Memohon ampun kepada-Nya".

Dua perkara lain yang diperlukan oleh kamu adalah: 1) Memohon syurga dan 2) Perlindungan daripada neraka.

Sesiapa memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya daripada air kolamku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk kedalam syurga.

Sesiapa diantara kamu mengadakan majlis berbuka puasa kepada orang-orang mukmin yang berpuasa dibulan ini, maka disisi Allah, nilainya sama dengan memerdekakan seorang budak dan dia diberi keampunan atas dosa-dosanya yang lalu.

Wahai manusia!
Siapa yang memperelokkan akhlaknya di bulan ini (nanti) dia akan berjaya meniti sirath pada ketika kaki-kaki tergelincir. Sesiapa yang mempermudahkan pekerjaan oleh orang-orang yang berkuasa (penguatkuasa) di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari Kiamat. Sesiapa yang mengelakkan aib dibulan ini, maka Allah akan menahan murka-Nya pada hari dia berjumpa dengan-Nya. Sesiapa yang memuliakan anak yatim pada bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari dia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa menyambungkan silaturrahim di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari dia berjumpa dengan-Nya. Barang siapa yang memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari dia berjumpa dengan-Nya. Sesiapa yang mengerjakan solat sunat di bulan ini, Allah akan menulis baginya kebebasan daripada api neraka. Sesiapa yang mengerjakan solat fardhu, baginya adalah ganjaran pahala seperti melakukan 70 solat fardhu di bulan yang lain. Sesiapa yang memperbanyakkan selawat ke atas diriku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ektika timbangan menjadi ringan.

Wahai manusia!
Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, maka merayulah kepada Tuhan kamu agar Dia tidak menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu agar ia tidak akan terbuka untukmu. Syaitan (akan) terbelenggu, maka mintalah agar (syaitan) tidak akan menguasaimu.

Kemudian berdiri Ali Karramallahu Wajhah lalu berkata:
"Ya Rasulullah! Apa amalan yang paling utama di bulan ini?"

Nabi jawab dengan bersabda:
"Ya Abal Hassan! Amalan yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan oleh Allah."

Wahai manusia!
Sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa agung lagi penuh barakah, bulan yang padanya terdapat satu (sahaja) malam yang lebih baik daripada seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu fardhu, dan berjaga pada malamnya suatu tathawwu' (ketaatan).


Petikan dari Manhaj Ramadhan (andai ini Ramadhan terakhir ku....), terbitan Adab Sinergi Sdn Bhd.

Isnin, 20 Januari 2014

ADAB-ADAB BERSALAMAN... NABI TIDAK BERSALAMAN DENGAN PEREMPUAN..



Masyarakat melayu @ Malaysia beranggapan bersalaman atau berjabat tangan dalam kehidupan seharian lebih menjurus kepada adat atau kebiasaan sahaja, namun kita tidak pernah mendalami hakikat sebenar melalui syariat Islam. Maka di sini saya ingin menjelaskannya melalui hadis Rasulullah s.a.w., seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda serta jaminan ganjaran yang diberi oleh Allah terhadap dua saudara Islam bila bersalaman antara satu sama lain ketika mana mereka bersua dan di mana sahaja mereka berjumpa.





PERANAN BERSALAMAN DALAM KEHIDUPAN MUSLIM
Peranan bersalaman boleh dikatakan sebagai satu penghormatan atau tanda kemesraan antara individu dengan yang lain ketika mereka bertemu.Maka eloklah kedua-duanya bersalaman atau berjabat tangan kerana perbuatan
itu akan membuahkan kemesraan dan kasih sayang, perkenalan danpersahabatan serta mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah ke atas hamba-Nya. Ini berdasarkan dalil yang telah ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W dengan sabdanya:

‘Sesungguhnya seorang muslim itu apabila bertemu saudaranya lalu bersalaman oleh kedua-duanya, maka gugurlah dosa mereka sepertimana berguguran daun dari pokok yang kering ditiup angin kencang, melainkan kedua duanya diampunkan segala dosa mereka walaupun banyak seperti buih di lautan.’
(Riwayat Thibrani)





Begitu juga apabila tiba masanya seseorang sahabat dari perantauan disambut oleh keluarga dan saudara mara, sahabat handai, maka tidak mengapa sambutan itu dilakukan dengan saling bersalaman dan berpelukan sebagai tanda kegembiraan sepertimana hadis Rasulullah s.a.w.:

‘Keadaan sahabat Rasulullah apabila mereka bertemu mereka bersalaman dengan berjabat tangan, dan apabila mereka menyambut kepulangan yang jauh mereka berpelukan.’
(Riwayat Abu Daud)

Oleh yang demikian syariat tetap mengakui bahawa bersalaman atau berjabat tangan memainkan peranan penting ke arah pengukuhan ummah dengan jalinan silaturahim antara satu sama lain, sepertimana yang diterangkan dalam hadis yang lain.

‘Apabila bertemu antara dua orang muslim lalu kedua duanya bersalaman dan memuji Allah lalu kedua duanya meminta ampun kepada Allah, Allah mengampunkan dosa kedua-duanya.’
(Riwayat Abu Daud)

Hadis ini memberi fahaman kepada kita bahawa persaudaraan Islam memainkan peranan yang amat besar dalam mengukuhkan sesuatu masyarakat dan bangsa itu sendiri ke arah menjalinkan perpaduan kaum secara sihat dan harmoni serta dalam keredhaan Allah selalu. Hal ini sepertimana dijelaskan melalui hadis di atas. Namun demikian perlu diingatkan bahawa bejabat tangan itu hanya dibolehkan lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan sahaja.

Di samping itu Islam membolehkan bersalaman antara lelaki Islam dengan lelaki bukan Islam. Begitu juga perempuan Islam dibolehkan bersalaman dengan perempuan bukan Islam, dengan maksud supaya tidak rasa kecil hati atau tersisih serta bertujuan bagi mewujudkan perpaduan ke arah keamanan hidup semata-mata.

HUKUM BERSALAMAN LELAKI PEREMPUAN

Bersalaman antara lelaki dan wanita yang BUKAN MAHRAM adalah HARAM.

Syariat Islam melarang sama sekali untuk bersalaman antara lelaki dan perempuan yang tidak ada pertalian persaudaraan. Ringkasnya yang batal air sembahyang dan dibolehkan berkahwin, melainkan dengan berlapik. Apa yang dinyatakan di atas berdasarkan mazhab Syafie dan juga telah dinyatakan oleh Sheikh 'Athiah Saqar dari Majlis Fatwa Al Azhar dengan katanya berdasarkan kaedah mazhab Syafie:

‘Tidak halal bersalarnan antara lelaki dan perempuan melainkan dengan berlapik.’

Ini berdasarkan ayat al Quran yang berbunyi:

‘Ataupun kamu sentuh wanita maka tiada kernudahan air untuk kamu berwuduk maka hendaklah kam tayamum dengan tanah yang suci'
(Surah Al-Nisa': 43)

Berdasarkan ayat ini mengikut mazhab Imam Syafie adalah batal wuduk sekiranya bersentuh lelaki dengan perempuan, maka dengan demikian adalah haram bersentuhan dengan sengaja sama ada secara bersalaman atau lainnya. Sama ada dengan rasa keinginan nafsu atau tidak, bersalaman tidak boleh kecuali
dengan berlapik atau beralas.

Manakala jumhur ulama, iaitu (Hanafi, Maliki dan Hambali) berpendapat tidak mengapa sekadar bersalaman antara lelaki dan perempuan sekiranya tidak ada keinginan nafsu antara mereka.

Walau bagaimanapun menurut fatwa Sheikh Mohd Mutwalli al-Sha'rawi menyatakan bahawa tidak digalakkan bersalaman antara lelaki dengan perempuan sekalipun disertakan dengan niat sekadar bersalaman sahaja. Kerana ini adalah peraturan dari hukum syarak ditakuti akan wujud bibit-bibit keinginan nafsu syahwat melalui antara dua tangan yang bersalaman tadi.(Rujuk Muhd. Mutwali Al-Sya'rawi. T.T. 157).

Menurut mazhab Syafie seandainya bersalaman tanpa lapik adalah berdosa kerana sentuhan di antara dua tangan yang bukan mahramnya (bukan ibu bapa atau saudaranya) wajiblah beristighfar dan bertaubat memohon
keampunan dari Allah. (Rujuk Al-Imam Abi Zakaria Yahya bin Syarafi Al-Nawawi Al-Demsyacli. 1992. hlm. 185-186).

Masalah ini jika hendak diperkatakan dianggap sesuatu yang ringan dan remeh di kalangan orang Islam. Sebenarnya ia adalah besar dan berat di sisi Allah dan di sudut akhlak orang Islam, lebih-lebih lagi di kalangan anak-anak muda dan remaja kerana ini membawa saham kepada gejala gejala yang lebih besar. Sebab itulah dari menularnya permasalahan yang lebih besar maka jalan-jalan yang mendorong ke arahnya mesti dihalang terlebih dahulu. 

Soal ini ditegaskan berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ma'qal bin Yasar telah enceritakan bahawa Rasulullah pernah bersabda dengan katanya:

‘Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh.’
(Riwayat Baihaki)


Hadis ini menunjukkan bahawa syariat Islam menegah sama sekali menyentuh jasad wanita yang sihat dan sempurna serta normal, kecuali apabila wanita itu didapati sakit atau memberi pertolongan cemas ataupun dengan maksud mengubat, maka ini dibolehkan di sisi syariat sekadar yang sepatutnya dengan ertikata memberi pertolongan serta disaksi oleh orang lain iaitu bukan berdua-duaan dan tidak sekali-kali melampaui batasan. (Rujuk Muhd. 'Abdul Raof Al-Manawi. 1972. hlrn. 258)


CARA MEMBERI SALAM ANTARA LELAKI DAN WANITA
Suka dinyatakan di sini bahawa Rasulullah s.a.w. sentiasa memberi salam kepada kaum wanita dengan ucapan ‘Assalamualikum’ serta memberi isyarat sebagai penghormatan dengan mengangkat tangan sahaja dan tidak bersalaman dengan berjabat tangan. Soal ini telah diceritakan oleh Asma' binti Yazid melalui sepotong hadis:

‘Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah melambai di perkarangan masjid pada suatu hari didapati sekumpulan kaum wanita sedang duduk di sisi masjid. Maka Rasulullah s.a.w. mengangkat tangannya sebagai tanda penghormatan dengan mengucapkan kalimah salam.’
(Riwayat Tarmizi)

Demikianlah perbezaan amalan bersalaman antara lelaki dan perempuan namun ganjarannya adalah sama di sisi Allah dengan mendoakan semoga selamat sejahtera, asalkan salam yang diberi itu betul dan ikhlas, Allah sahaja yang membalas.


Allahu'alam.