The One & The Only

The One & The Only
smile

Sabtu, 14 Jun 2014

khutbah RASULULLAH S.A.W mengenai Ramadhan.

Bismillahirrahmannirahim,
Assalamualaikum w.b.t,
Pada entry kali ini saya dengan rendah hati ingin berkongsi khutbah Nabi  junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W.

Wahai manusia!
Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Allah yang punya keberkatan, kerahmatan dan maghrifah. Bulan kemuliaan disisi Allah. Malam-malamnya (juga) adalah malam-malam yang paling utama. Setiap detik jamnya adalah detik-detik jam paling utama. Inilah bulan yang kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan-Nya. Di bulan ini, nafas-nafasmu adalah tasbih, tidurmu adalah ibadah, amal-amalmu akan diterima dan doa-doamu dilayan.

Pohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan ibadat puasa dan tilawah kitab-Nya. Celakalah orang yang tidak diberi keampunan Allah di bulan yang agung ini. Bayangkanlah...dengan rasa lapar dan dahagamu, (umpama) kelaparan dan dahaga di hari Kiamat.

Bersedekahlah kepada golongan fakir dan miskin. Muliakanlah ibubapamu, sayangilah yang muda, sambungkanlah tali persaudaraanmu, peliharalah lidahmu, tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal, dan (hindari) pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu dengarkan. Kasihanilah anak-anak yatim, pasti manusia akan mengasihani anak-anak yatimmu. Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu, berdoa ketika waktu solatmu kerana itulah waktu yang paling penting sewaktu Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh sayang; Dia menjawab mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyahut mereka ketika mereka memanggil-Nya, dan mengabulkan permintaan mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.

Wahai manusia!
Ramadhan adalah bulan kesabaran, sedangkan sabar itu pahalanya adalah syurga. Ramadhan merupakan bulan memberi pertolongan (syahrul musawah) dan bulan Allah memberikan rezeki kepada mukmin didalamnya.

Barangsiapa memberikan makanan berbuka puasa kepada seseorang yang berpuasa, adalah demikian merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikit pun berkurang.

Para sahabat berkata,
"Ya Rasulullah, bukan semua kami memiliki makanan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa".

Maka Rasulullah S.A.W bersabda:
"Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi sebutir kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu".

Ia adalah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada neraka. Barangsiapa meringankan beban daripada budak sahaya (termasuk disini para pembantu rumah), nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya daripada neraka.

Oleh itu, perbanyakkanlah empat perkara di bulan Ramadhan; dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhanmu, dan dua perkara lagi merupakan apa yang kamu hajati.

Dua perkara pertama tadi adalah: 1) "Mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain dari Allah, 2) Memohon ampun kepada-Nya".

Dua perkara lain yang diperlukan oleh kamu adalah: 1) Memohon syurga dan 2) Perlindungan daripada neraka.

Sesiapa memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya daripada air kolamku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk kedalam syurga.

Sesiapa diantara kamu mengadakan majlis berbuka puasa kepada orang-orang mukmin yang berpuasa dibulan ini, maka disisi Allah, nilainya sama dengan memerdekakan seorang budak dan dia diberi keampunan atas dosa-dosanya yang lalu.

Wahai manusia!
Siapa yang memperelokkan akhlaknya di bulan ini (nanti) dia akan berjaya meniti sirath pada ketika kaki-kaki tergelincir. Sesiapa yang mempermudahkan pekerjaan oleh orang-orang yang berkuasa (penguatkuasa) di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari Kiamat. Sesiapa yang mengelakkan aib dibulan ini, maka Allah akan menahan murka-Nya pada hari dia berjumpa dengan-Nya. Sesiapa yang memuliakan anak yatim pada bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari dia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa menyambungkan silaturrahim di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari dia berjumpa dengan-Nya. Barang siapa yang memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari dia berjumpa dengan-Nya. Sesiapa yang mengerjakan solat sunat di bulan ini, Allah akan menulis baginya kebebasan daripada api neraka. Sesiapa yang mengerjakan solat fardhu, baginya adalah ganjaran pahala seperti melakukan 70 solat fardhu di bulan yang lain. Sesiapa yang memperbanyakkan selawat ke atas diriku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ektika timbangan menjadi ringan.

Wahai manusia!
Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, maka merayulah kepada Tuhan kamu agar Dia tidak menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu agar ia tidak akan terbuka untukmu. Syaitan (akan) terbelenggu, maka mintalah agar (syaitan) tidak akan menguasaimu.

Kemudian berdiri Ali Karramallahu Wajhah lalu berkata:
"Ya Rasulullah! Apa amalan yang paling utama di bulan ini?"

Nabi jawab dengan bersabda:
"Ya Abal Hassan! Amalan yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan oleh Allah."

Wahai manusia!
Sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa agung lagi penuh barakah, bulan yang padanya terdapat satu (sahaja) malam yang lebih baik daripada seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu fardhu, dan berjaga pada malamnya suatu tathawwu' (ketaatan).


Petikan dari Manhaj Ramadhan (andai ini Ramadhan terakhir ku....), terbitan Adab Sinergi Sdn Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan